Wednesday, July 23, 2008

Laporan Kem Motivasi Pengawas Pusat Sumber Sekolah 2008

Kem Motivasi Pengawas Pusat Sumber telah diadakan pada bulan Jun lalu. Program ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Jun 2008. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi motivasi dalam diri pengawas-pengawas Pusat Sumber di sekolah ini. Program yang berlangsung sepanjang dua hari ini telah dibahagikan kepada beberapa sesi antaranya sesi ceramah, permainan dan aktiviti luar sekolah.

Pada hari pertama iaitu pada 29 haribulan, semua peserta berkumpul di Bilik SAL pada pukul 8.00 pagi untuk sesi ceramah. Sesi ceramah tersebut dibahagikan kepada tiga slot. Slot pertama, ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Muhd Uda Omar. Ceramah ini bertujuan untuk memberi pengajaran yang berkesan bagi membentuk jati diri pengawas pusat sumber supaya sentiasa berfikiran positif, menghormati ibu bapa dan guru-guru di samping menanam sifat nilai-nilai murni dalam diri setiap peserta.

Slot kedua pula ialah sesi ceramah yang disampaikan oleh Puan Nurlina Oon Abdullah. Ceramah ini memberi pendedahan mengenai etika sebagai seorang Pengawas Pusat Sumber dan bertujuan melahirkan pengwas-pengawas PSS serta individu yang berjaya. Di samping itu, beliau juga memberi pendedahan mengenai kaedah pengelasan buku yang betul dan tujuan pengelasan buku dilakukan.

Slot ketiga yang diadakan pada hari tersebut ialah slot permainan. Dalam slot ini, pelbagai jenis permainan telah dijalankan. Antaranya, permainan teka peribahasa yang menggunakan bahasa isyarat, teka-teki Matematik dan sebagainya. Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan besar yang mana setiap satu kumpulan mengadungi lebih kurang 16 orang ahli. Tujuan slot permainan ini diadakan adalah untuk mumupuk semangat kerjasam dan setia kawan antara setiap peserta. Sesi ini tamat pada pukul 5.00 petang dan seterusnya para peserta bersurai.

Pada hari kedua, aktiviti diadakan di luar sekolah iaitu FRIM ( Institut Penyelidikan Penghutanan Semula ). Semua peserta tiba di lokasi pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki bas . Setibanya di sana, peserta diberi taklimat ringkas terbih dahulu sebelum memulakan aktiviti seterusnya. Selepas taklimat, peserta memulakan aktiviti pada hari tersebut iaitu ' Junggle Trekking ' dan 'Canopy Walk'.
Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai jenis pokok yang terdapat di FRIM di samping mendekatkan diri para peserta dengan alam semulajadi. Selesai kedua-dua aktiviti tersebut, para peserta tersebut menikmati makan tengahari dan kemudiannya mandi-manda di kawasan air terjun yang terdapat di situ. Hal ini bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk melepaskan segala beban dan tekanan yang ada dalam diri mereka. Peserta bertolak pulang pada pukul 2.30 petang.

Secara keseluruhan, daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut berlangsung, banyak pengajaran yang diperolehi oleh peserta. Di samping mendapat ilmu yang bermanfaat, program ini juga dapat membentuk nilai-nilai murni dalam diri setiap peserta seperti berusaha untuk menjalankan tugas sebagai Pengawas Pusat Sumber Sekolah dengan sebaik mungkin selain memupuk sikap hormat-menghormati, setia kawan, bekerjasama dan mencintai alam sekitar dalam diri mereka.


Disediakan oleh :
Setiausaha,
Lembaga Pengawas Pusat Sumber
SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara
47100 Pushong Selangor Darul Ehsan